05/04/2013

Najmuddin Elias Beri Laluan Muka Baru Di DUN Batu Kurau


Image


PENASIHAT Hal Ehwal Agama Menteri Besar, Datuk Kapt. (B) Mohd Najmuddin Elias mengumumkan pendirian beliau untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menurutnya, keputusan tidak bertanding itu dibuat bagi memberi laluan kepada muka baru yang terdiri daripada golongan muda untuk menjadi calon di Batu Kurau.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat tanpa desakan atau paksaan oleh mana-mana pihak tetapi atas kerelaan diri beliau sendiri.

"Saya akan memberi sokongan penuh kepada sesiapa juga calon Barisan Nasional (BN) di DUN Batu Kurau.

"Keputusan ini dibuat dengan rela hati supaya saya dapat memberi lebih banyak tumpuan kepada tanggungjawab dalam hal ehwal Islam dan dakwah di Perak," katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.
Hadir sama pada sidang media khas itu, Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Azhar Ahmad.

Najmuddin berkata, beliau akan memberi fokus bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalankan sistem politik negara kita berdasarkan prinsip wassyatiah dan memberi tumpuan serius membantu Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam hal ehwal agama Islam.

Menurutnya, beliau meminta kepada pengundi di DUN Batu Kurau supaya terus memberikan sokongan mereka kepada calon yang mewakili BN nanti.

"Saya berharap rakyat dapat memberi mandat baru kepada BN sebagai kerajaan supaya pelbagai projek pembangunan dapat diteruskan kelak," katanya.

Pada pilihan raya tahun 2008, Najmuddin berjaya mempertahankan kerusi DUN Batu Kurau dengan mendapat 7,023 undi selepas menewaskan calon PKR, Hamid Ali yang memperoleh 4,584 undi.

No comments:

Post a Comment