BARISAN Nasional (BN) Parlimen Batu Gajah, akan terus mendekati pengundi ‘atas pagar' bagi memastikan peluang merampas semula kerusi Parlimen Batu Gajah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh, Jelapang dan Menglembu tercapai.
Pengerusi BN Parlimen Batu Gajah, Datuk Yusof Kassim berkata, BN telah turun ke bawah dan mendapati penyokong tegar BN dalam kawasan Parlimen Batu Gajah terdiri daripada kira-kira 30,000 ahli dari pelbagai kaum.
"Seramai 20,000 pengundi pula adalah penyokong pembangkang, manakala 30,000 orang lagi merupakan pengundi 'atas pagar'.
"Jadi kita nampak pengundi-pengundi ‘atas pagar' ini jika kita dapat tarik mungkin Parlimen Batu Gajah ini kita akan dapat (rampas) kembali.
"Kita tahu mereka (pengundi atas pagar) pun kini sudah sedar, hampir lima penggal telah dipimpin oleh pembangkang, (namun) tiada sebarang projek yang di bawa ke sini.
"Saya telah beritahu kepada pengundi-pengundi bahawa kita telah kerugian beberapa tahun berbanding kawasan lain di bawah penguasaan BN.
"Jadi saya berharap BN dapat menguasai semula Parlimen Batu Gajah dan pengundi-pengundi supaya sedar dan memilih BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tergempar di Pejabat UMNO Parlimen Batu Gajah, dekat Ipoh, kelmarin.
Sementara itu, Yusof yang mewakili pemimpin BN Parlimen Batu Gajah menyokong penuh manifesto atau ‘Aku Janji' yang bertemakan Janji Ditepati, Rakyat Didahulukan yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Stadium Putra Bukit Jalil, beberapa hari lalu.
"Perdana Menteri telah membuat 'Aku Janji' yang cukup baik sekali meliputi semua peringkat masyarakat dalam negara.
"Ini adalah satu 'Aku Janji' yang begitu baik dan kita percaya ianya (Aku Janji) ini akan ditunaikan kerana kita telah tahu.. Perdana Menteri telah memimpin (negara) selama empat tahun, banyak pembaharuan yang telah dibawa (dilaksanakan).
"Semua janji telah ditunaikan, berlainan dengan pembangkang, (mereka) berjanji sahaja, tetapi tiada apa yang mereka buat," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah.
No comments:
Post a Comment