15/04/2013

Influenza H7N9!!!





Sistem survelan influenza melibatkan 513 fasiliti kesihatan seluruh negara bagi mengesan sebarang kejadian luar biasa dipantau setiap hari oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC)
Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata makmal-makmal rujukan kebangsaan juga telah bersedia dan berupaya mengesan virus-virus baharu termasuk H7N9.

"Kementerian juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Veterinar yang turut menjalankan survelan di kalangan unggas. Sehingga kini tidak terdapat kejadian luar biasa dilaporkan di kalangan populasi unggas setempat dan juga yang bermigratori di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menarik perhatian kejadian influenza H7N9 yang berlaku di China masih terhad di negara itu sahaja dan sehingga hari ini, 49 kes dengan 11 kematian dilaporkan, dan kesemuanya tidak menunjukkan sebarang hubungan secara epidemiologi antara satu sama lain.

Memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Noor Hisham berkata masih belum terdapat bukti ia boleh berjangkit dari manusia ke manusia.

"Oleh itu, risiko berlaku pandemik seperti H1N1 belum dapat dibuktikan. WHO juga masih tidak menyarankan sebarang sekatan perjalanan atau saringan aktif di pintu-pintu masuk negara," katanya.

Dr Noor Hisham berkata sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pandemik 'avian influenza', latihan simulasi menghadapi wabak melibatkan pemerhati dari negara Asean telah diadakan.

Katanya, kementerian juga sentiasa berhubung dengan pihak WHO di Melbourne, Australia dan Pusat Kawalan Penyakit di Atlanta, Amerika Syarikat dan memberi jaminan akan membuat hebahan awam dengan segera jika terdapat sebarang kejadian luar biasa.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah-langkah mudah bagi mencegah penularan jangkitan influenza seperti kerap membasuh tangan dengan air dan sabun, mengamalkan adab batuk yang baik dan cara hidup sihat.
sumber : www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment