20/04/2013

20,000 Penduduk Teluk Intan Bakal Nikmati Kampung Tanpa Wayar



PENDUDUK di Parlimen Teluk Intan bakal menikmati kemudahan internet tanpa had berikutan kerajaan akan melaksanakan program Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dan projek Kampung Tanpa Wayar (KTW).

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan, Azhar Jamaluddin berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) yang bertujuan untuk memberi kemudahan internet jalur lebar kepada rakyat.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan kerajaan itu bakal merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

"Teluk Intan adalah antara kawasan yang telah terpilih untuk diwujudkan PI1M dan KTW di Perak selain Kamunting, Kampung Gajah dan Pulau Pangkor.

"Pemilihan PI1M dan KTW di Parlimen Teluk Intan bakal dinikmati lebih kurang 20,000 penduduk sekali gus merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar," katanya.

Azhar yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia SKMM telah melantik pihak Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai pemberi perkhidmatan untuk menyediakan kemudahan jalur lebar di kawasan Parlimen Teluk Intan.

Menurutnya, bagi PI1M ianya bakal dilaksanakan di Kampung Banjar, dekat Teluk Intan dengan pelbagai kemudahan jalur lebar yang disediakan termasuk kemudahan wifi.

Bagi KTW pula, TM akan melaksanakan kerja-kerja mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan akan siap dalam masa terdekat ini.

"Pihak kami sedang berbincang untuk meletakkan menara pencawang KTW di Parlimen Teluk Intan supaya dapat dinikmati penduduk luar bandar.

"Ada beberapa tempat kami sudah cadangkan kepada pihak berkenaan untuk dipasang menara pencawang bagi memberi kemudahan jalur lebar di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment