18/04/2013

Pembangkang Tersentak, UMNO Ambil Alih DUN Pasir Panjang




BARISAN Nasional (BN) Perak semalam membuktikan bahawa janji untuk menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang milik MIC kepada UMNO merupakan antara satu lagi janji BN yang ditepati, demi kehendak akar umbi.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, berkata BN Perak sentiasa mengambil kira kehendak akar umbi, tetapi pada masa yang sama tetap menghormati suara parti komponen BN yang lain.

"Ya, kita telah tepati janji. Tapi bukan soal UMNO di sini. Yang paling penting ialah BN menepati janjinya.

"Kita tahu tentang kedudukan kerusi-kerusi yang perlu ditandingi oleh siapa. Jadi keputusan ini saya hendak sebutkan.. bukan keputusan UMNO, jangan salah anggap. Ini adalah BN, keputusan BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Damar Laut di Dewan BNBBC Batu 4, Segari dekat sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pemuda BN Perak, Khairul Azwan Harun dan Pengarah PDM Damar Laut, Azri Jaafar.

Semalam, Dr. Zambry telah mengumumkan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lumut, Rashidi Ibrahim sebagai calon N51 Pasir Panjang yang sebelum ini diwakili MIC.

Pengumuman tersebut menghentikan terus dakwaan pembangkang yang mendakwa BN akan terus meletakkan calon MIC di situ.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sikap pembangkang itu merupakan perkara biasa dan seolah-olah cuba menjadi jurucakap UMNO dan BN.

"Umpamanya merekalah lebih pakar bercakap tentang soal UMNO dan BN. Mereka membuat pelbagai andaian, saya tak akan menjadi Menteri Besar lagi.. orang itu akan menjadi Menteri Besar..

"Saya akan dipindahkan ke pusat... Mereka tolong aturkan untuk BN dan UMNO. Ini lah perangai mereka. Umpamanya hari ini jelaslah bagaimana sikap mereka yang seperti itu.

"Biarkanlah mereka hendak berbuat begitu, bermakna mereka membuat pembohongan. Apabila berbohong, rakyat tidak akan percaya lagi pada mereka.

"Ini sebenarnya cara mereka. Mereka sebenarnya risau kalau UMNO mengambil alih semula DUN Pasir Panjang," katanya.

No comments:

Post a Comment