18/04/2013

Dr Zambry Menempelak Cogankata 'UBAH' Pembangkang



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menempelak cogan kata pembangkang `UBAH, UBAH, UBAH’ kerana masih gagal mengubah imej mereka sebagai parti yang berpegang kepada memperjuangkan nasib rakyat.
Katanya, mereka hanya pandai bercakap tentang perlunya perubahan tetapi mereka sendiri gagal melaksanakan sebarang perubahan yang positif.
Beliau berkata, pembangkang cuba memikat hati rakyat dengan slogan `UBAH, UBAH, UBAH’, sebaliknya mereka ``kucar-kacir dan penuh bermasalah.’’
Dr Zambry memberi contoh kepimpinan DAP  dan PAS di mana Lim Kit Siang dan Datuk Nik Aziz masih menerajui parti mereka sedangkan BN sudah bertukar empat Perdana Menteri.   
Kerajaan BN, katanya, selain menunaikan janji, juga telah memberi kesejahteraan kepada rakyat melalui pelan tranformasi yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu sama ada di peringkat negeri mahupun Pusat.
Dr Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata, adalah penting bagi rakyat mengundi BN bagi memastikan kestabilan dan keamanan dikekalkan bagi meneruskan proses tranformasi ekonomi dan pembangunan  negara.
"Bagi saya satu perkara yang amat penting, kita perlu kekalkan kestabilan dan keamanan dalam semua sistem  dan falsafah politik.
"Pemikiran politik dimanapun matlamat politik itu adalah untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat, keamanan dan kestabilan bagi sesebuah negara sejak dulu sampai sekarang,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi temubual khas dengan wartawan akhbar Sin Chew di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Ipoh hari ini.
Dr Zambry menjelaskan bahawa BN sememangnya membuat anjakan dan perubahan untuk kebaikkan dan kesejahteraan rakyat.          
"Dalam konteks ini, kita sedar perubahan yang kita perlukan, kita tidak kata bahawa BN tidak perlu melakukan anjakan ataupun perubahan, sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebut transformasi, perkataan yang lain daripada perubahan tetapi transformasi untuk membawa kebaikkan.
"Apa yang kita buat mungkin ada kekurangan kita perbetulkan, kita tambah baik lagi,’’  katanya.
Beliau memberi contoh, transformasi politik di mana senarai calon yang BN ketengahkan bagi kerusi DUN Perak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) terdiri daripada mereka  yang berkelayakkan tinggi  termasuk pemegang PhD.    
Mengenai dakwaan masyarakat Cina tiada dalam pentadbiran kerajaan , beliau menjelaskan, sebenarnya isu itu telah diputar belitkan oleh pembangkang, terutama DAP.
"Mereka bercakap tentang soal keadilan sosial untuk semua, tetapi apabila bercakap kepada kelompok satu kaum, mereka akan bercakap tentang kepentingan kaum tersebut sedangkan BN  tidak melakukan permainan ini,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment