27/04/2013

Pasukan Khas Ditubuh Siasat Kematian Shaharudin




Sebuah pasukan khas diketuai oleh Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin akan ditubuhkan bagi menyiasat kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya, pagi ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, beliau telah mengeluarkan arahan agar siasatan dan tindakan serta-merta dapat diambil bagi mendapatkan laporan terperinci mengenai kejadian berkenaan.
“Siasatan akan dijalankan terperinci dan kita akan cuba mencari mereka yang bertanggungjawab.
“Siasatan awal mendapati sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki telah melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki mangsa,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra anggota keselamatan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Markas Briged Utara, Ulu Kinta, hari ini.
Berdasarkan siasatan awal, polis telah mengenal pasti motif pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam itu namun masih terlalu awal untuk didedahkan kepada umum.
Walau bagaimanapun, sehingga kini pihak polis masih belum melakukan sebarang tangkapan terhadap mana-mana pihak dan beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian berkenaan tampil memberi maklumat.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Polis Negara turut menafikan kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
“Ia adalah kes berasingan… belum ada maklumat lanjut jadi jangan biar orang ramai rasa bimbang dengan kejadian pagi tadi kerana ia merupakan jenayah dan satu pembunuhan,” katanya.
Ismail turut mengutuk sekeras-kerasnya kejadian pembunuhan yang berlaku di pusat pentadbiran negara itu kerana dianggap sebagai cubaan untuk mencabar tugas yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa.
Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu, Shaharuddin maut akibat ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, ketika kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan.
Kejadian berlaku ketika kereta mangsa bersama pemandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal tiba-tiba muncul dari belakang dan melepaskan tembakan ke arah mangsa. SUMBER

No comments:

Post a Comment