17/04/2013

Calon Boleh Menang BN Perak, Kombinasi Pelbagai Latar Belakang






PENGUMUMAN senarai penuh calon Barisan Nasional (BN) Perak hari ini secara tidak langsung menamatkan pelbagai spekulasi yang dibuat termasuk kedudukan kerusi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir apabila kekal mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor.

Menurut Dr. Zambry, bagi pihak BN Negeri Perak, mereka melakukan yang terbaik termasuk mengabungkan pelbagai latar belakang termasuklah daripada pemimpin akar umbi sehinggalah kepada mereka yang mempunyai kelayakan akademik tertinggi.

"Samada di peringkat perubatan mahu pun di peringkat PHD (Dr. falsafah). Kombinasi ini bukan hanya ada di peringkat Parlimen, tetapi juga di peringkat DUN.

"Pada kali ini menampilkan pelbagai latar belakang yang menarik. Inilah usaha kami seperti mana dikehendaki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar BN dapat melakukan proses transformasi.

"Bagitu juga dalam konteks UMNO, kita melakukan yang terbaik demi untuk memastikan supaya BN terus berada dipersada politik tanah air," kata kepada pemberita selepas mengumumkan senarai penuh calon BN Perak di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, beliau juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih atas pengorbanan mereka yang lalu khususnya mereka yang tidak dicalonkan lagi samada menjadi Ahli Parlimen mahu pun Ahli DUN.

Beliau berkata, mereka sebenarnya melakukan pengorbanan yang cukup besar untuk memberi laluan kepada muka baru.

"Ini merupakan satu contoh yang baik dan kita mengharapkan semangat ini dapat diteruskan bagi memastikan momentum BN dalam pilihan raya kali ini.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita peluang terhadap kemenangan BN berikutan menampilkan ramai muka baru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), beliau berkata:

"Kita harap semua calon BN akan menang. Dalam perjuangan kita ada hala tuju.. Matlamatnya adalah untuk menang.

"Kalau masuk dalam gelanggang untuk berperang mesti untuk menang. Kalau masuk untuk kalah tentunya kita tak akan masuk (bertanding)," katanya.

BN Perak menampilkan 35 muka baru daripada 59 kerusi DUN, manakala lima muka baru daripada 24 kerusi Parlimen di negeri ini.


No comments:

Post a Comment