Penyandang DUN Aulong Yew Tian Hoe yang digugurkan dari senarai calon DAP akhirnya menyerahkan borang pencalonannya hari ini dan akan bertanding sebagai calon bebas di kerusi tersebut.
"Saya terasa ditipu dan saya akan lawan habis-habisan,” kata Yew yang lebih popular dengan panggilan capek dikalangan rakan taulannya di sini.
Semalam beliau memberitahu PerakNews bahawa beliau tidak akan bertanding walaupun namanya tidak termasuk dalam senarai calon DAP di Perak.
Tetapi diatas desakan penyokongnya di Aulong yang bersimpati dengan penginayaan yang dilakukan oleh pemimpin DAP Perak ke atasnya, beliau bertekad untuk terus berjuang.
"Mereka (DAP) buat ceramah (sebelum pembubaran Dewan), saya yang diminta membayar pelbagai kos termasuk duit minyak para penceramah tapi disaat-saat akhir, orang lain di calonkan,” kata Yew, bapa kepada tiga anak.
Salah seorang penyokong beliau, pengerusi DAP cawangan Kampung Boyan, Clement De Brito yang menjadi ahli parti itu sejak 40 tahun lalu berkata:
"Kami sanggup dibuang parti kerana Yew berkhidmat dengan sangat cemerlang bukan sahaja untuk penduduk Aulong tetapi juga penduduk Taiping tetapi diketepikan di saat-saat akhir.”
"Kita mahukan orang yang boleh berkhidmat, bukan wakil rakyat yang pandai bercakap untuk menyedapkan hati sahaja, “ katanya.
"Kami cukup kecewa kerana yang dipilih mewakili DAP di Aulong ialah orang yang baru menjadi ahli DAP selama setahun tetapi Yew menjadi ahli DAP lebih 30 tahun dan telah berkhidmat untuk rakyat dengan cemerlang sejak lima tahun lalu,” kata Clement.
Clement berkata beliau menerima panggilan daripada penyokong Yew tengah malam tadi, mengesyorkan agar dia (Clement) menjadi pencadang.
"Saya terus bersetuju kerana saya dan 150 penyokong saya mahu menegakkan keadilan dan demokrasi,” kata Clement.
Bila ditanya samada perkembangan terbaru ini akan mengurangkan sokongan pengundi kerusi parlimen Taiping yang disandang oleh setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming, Clement berkata:
"Mungkin tetapi inilah akibatnya jika sesuatu parti itu mengamalkan pilih kasih.”
Yew akan terlibat dalam pertarungan tiga penjuru melibatkan calon BN Soo Kay Peng dan Lian Thy Yee dari DAP sementara penyandang kerusi parlimen Taiping Nga Kor Ming akan ditentang oleh pengerusi Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe, penyandang kerusi parlimen Gerik, mewakili BN.
DUN Pokok Assam turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara bekas exco kerajaan negeri Datuk Ho Cheng Wang yang mewakili BN, The Kok Ling dari DAP dan peniaga Mohd Yusof Abdul Hamid sebagai calon bebas sementar DUN Kamunting melibatkan pertandingan dua penjuru antara BN dan PAS.sumber
No comments:
Post a Comment