NEGERI PERAK mampu muncul sebagai sebuah pusat persilatan Melayu di Malaysia kerana sejarahnya banyak berkait rapat dengan negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir
Menurutnya, sebagai contoh silat kalimah yang berasal dari Batu Kurau, warisan seni mempertahankan diri itu bukan sahaja mampu mendisiplinkan diri malah dapat membentuk fizikal serta rohani seseorang.
"Silat gayung misalnya berkait rapat dengan Negeri Perak. Di sini lahirnya pendekar-pendekar serta mahaguru yang mengajarkan ilmu persilatan.
"Kita ingin melihat persilatan ini yang terdiri daripada pelbagai cabang dapat bersatu dan bergerak sebagai sebuah pasukan untuk terus mempertahankan warisan turun-temurun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan dan demonstrasi persilatan Melayu oleh Pertubuhan Silat Gayung Ghaib Malaysia di Ipoh, kelmarin.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Mahaguru Pertubuhan Silat Gayung Ghaib Malaysia, Datuk Ibrahim Mat Zain.
Dalam majlis tersebut, Zambry dan Zainol Fadzi masing-masing diberi penganugerahan melalui pemakaian Selendang Pahlawan Setia Mahkota Negara dan Selendang Panglima Seri Harimau Wira Negara.
Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, di bawah Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Perak (Pesaka) terdapat lebih 10,000 ahli yang menyertainya melibatkan 20 pasukan berdaftar.
Zainol Fadzi yang juga Presiden Pesaka berkata, idea menubuhkan pusat persilatan Melayu itu sangat bernas berikutan terdapat lebih 200 gelanggang silat di negeri ini.
No comments:
Post a Comment