18/04/2013

Letakkan Kepentingan Parti Melebihi Kepentingan Diri




PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yakin kegiatan mensabotaj parti tidak akan berlaku di negeri ini sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menurutnya, beliau sebelum ini telah pun mengingatkan berkali-kali kepada semua ahli tentang isu tersebut dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri.

"Kita telah pun memperingatkan ini (masalah sabotaj parti) berkali-kali. Kita faham ada di kalangan mereka yang tidak tercalon akan mempunyai sedikit sebanyak perasaan yang tidak seronok.

"Tapi saya yakin di atas semangat BN, segala-galanya akan dapat dipulihkan. Saya telah pun melihat proses ini pun dalam masa satu hari umpamanya ada Ketua-ketua Bahagian yang tidak terpilih, tetapi mereka telah pun datang semalam sewaktu pengumuman nama calon.

"Ada di kalangan mereka tidak terpilih pada kali ini walaupun mereka telah pun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama ini, tetapi mereka tetap datang meraikan calon-calon yang baru dan ini merupakan satu contoh yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Damar Laut di Dewan BNBBC Batu 4, Segari dekat sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pemuda BN Perak, Khairul Azwan Harun dan Pengarah PDM Damar Laut, Azri Jaafar.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, beliau berharap semangat seperti itu iaitu melihat kepada kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri itu diharap dapat mengatasi masalah sabotaj di peringkat bawahan.

"Memang kalau kita lihat dari segi untuk memuaskan hati semua orang tidak mungkin kita dapat laksanakan.

"Tapi kita di peringkat BN, kita lakukan terbaik yang dapat memberikan satu natijah atau keputusan terbaik kepada BN," katanya.

Semalam, BN Perak mengumumkan senarai calon termasuk menampilkan 40 muka baru. Senarai tersebut turut menyaksikan dua Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ramly Zahari dan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar tidak terpilih untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

No comments:

Post a Comment