27/04/2013

PM Minta Mandat Rakyat Sokong Dr Zambry

32

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Perak memberi mandat kepada Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk terus kekal memimpin negeri ini sebagai Menteri Besar Perak.
 
Katanya, ini kerana Dr Zambry telah bekerja keras selama empat tahun dengan membawa perubahan dan pembangunan kepada rakyat.
``Datuk Seri Dr Zambry sudah bekerja kuat selama empat tahun sebagai Menteri Besar maka layak kita berikan mandat semula kepada BN,’’ katanya pada Majlis Sepetang Bersama Rakyat di Padang Sekolah Kebangsaan Sungai Bayor, Selama hari ini.
 
Hadir sama Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir, calon BN Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin, calon BN DUN Batu Kurau, Mohamad Amin Zakaria, calon BN Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Elias dan calon BN Selama, Dato’ Mohamed Daud Mohd Yusoff.   
 
Najib turut meminta rakyat memberikan sokongan padu mereka bagi memenangkan calon-calon BN Parlimen Larut pada pilihan raya umum ke-13 ini.
 
Beliau turut memuji sikap bekas Adun Kubu Gajah, Dato’ Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan bekas Adun Batu Kurau, Kapt. (B) Najmuddin Elias Al-Hafiz yang tidak bertanding pada pilihanraya umum kali ini.
 
``Keadaan dan sikap beginilah yang kita hendak sebab kita mesti menjurus kepada satu sahaja iaitu 5 haribulan Mei ini kita pastikan Barisan Nasional menang besar.
  
Dalam ucapannya di hadapan hampir 7,000 penduduk Sungai Bayor, Dato’ Seri Najib juga meminta rakyat memberinya mandat bagi membolehkan beliau kekal memimpin sebagai Perdana Menteri.
 
Katanya, ini bagi membolehkan program transformasi dalam bidang ekonomi, pembangunan dan sebagainya diteruskan.
``Tuan-tuan dan puan-puan sekalian inilah kerajaan kita, kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat.
 
``Sudah kita nampak empat tahun kejayaan kita, saya beri jaminan lima tahun akan datang insyaallah lebih baik, lebih hebat daripada empat tahun ini.
 
``Kita akan bekerja kuat dan bersungguh-sungguh untuk membawa negara kita ke mercu kejayaan yang boleh kita banggakan,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment