29/04/2013
Pembangkang Amal Kroni ’Melampau’, Pilih Anak Menantu Sebagai Calon PRU-13
"Mereka suka tuduh Barisan Nasional (BN) parti kronisme...tapi cuba lihat pembangkang.
"Sekiranya pemimpin mereka masing-masing ada letak anak menantu sebagai calon bertanding pilihan raya...ini bukan kronisme?," kata Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Menurutnya, amalan kronisme sangat ketara di kalangan parti pembangkang apabila ramai di kalangan mereka masing-masing meletakkan anak dan menantu sebagai calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menurutnya, antara mereka termasuklah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya Nurul Izzah (PKR); Karpal Singh dan Gobind Singh Deo (DAP); Lim Kit Siang dan Lim Guang Eng (DAP); Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat dan Nik Abduh dan Abdul Hadi Awang dan menantunya Mohd Akmal Kamaruddin (PAS) yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selama, Perak.
"Pada saya, inilah bukti pembangkang mengamalkan kronisme pada tahap paling tinggi dan teruk sekali.
"Saya selalu ingatkan mereka (pembangkang) kerana sentiasa menunding jari kepada BN, tapi satu jari mereka tunding kepada BN, tiga jari lagi menunding mereka sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Kenduri Rakyat dan Penyerahan Bantuan Banjir di Dewan Ghazali Jawi, Slim River, dekat Tanjung Malim, hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr. Zambry berkata, media sepatutnya bertanya kepada Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar sendiri apakah sumbangan Ketua Pembangkang Perak itu kepada negeri Perak lebih-lebih lagi di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Pasir Panjang sepanjang menjadi wakil rakyat di dua kawasan berkenaan.
"Tanya apa dia dah buat untuk rakyat di Pasir Panjang dan Bukit Gantang. Setahu saya rekod dia tidak elok...dia tak buat apa pun untuk bela penduduk di kawasan yang diwakilinya.
"Dalam sidang Dewan (Undangan Negeri Perak) tak pernah dia bangkitkan soalan berkaitan kawasan dia dan kita telah buktikan semua ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita, apakah perkara yang boleh mengukur prestasi Nizar dan sama ada wakil rakyat itu ada membawa pembangunan di dua kawasan tersebut.
Labels:
Melayu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment