SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan menyerahkan watikah pembubaran DUN Perak kepada Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Perak di Ipoh, hari ini.
R. Ganesan berkata, watikah itu diserahkan kepada Pengarah SPR Negeri Perak, Ahmad Adli Abdullah pada pukul 3 petang.
"Semalam DUN Perak telah dibubarkan. Pemangku Raja Perak Raja Dr. Nazrin Shah telah menandatangani watikah pembubaran DUN Perak.
"Pada hari ini, saya datang ke SPR Negeri Perak untuk menyerahkan watikah bersama dengan surat pemberitahuan bahawa DUN Perak telah pun dibubar.
"Seterusnya SPR akan mengambil alih untuk mengadakan pilihan raya untuk DUN Perak," katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.
Pembubaran DUN Perak diumum secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada satu majlis di kediamannya, petang semalam selepas mendapat perkenan Raja Nazrin kira-kira pukul 3 petang semalam.
Sementara itu, ketika ditanya pemberita samada beliau akan bertanding di kawasan DUN Hutan Melintang, beliau berkata, keputusan itu terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel.
Ganeson yang juga Timbalan Pengerusi MIC Negeri Perak berkata, parti berkenaan akan bertanding di empat kerusi dan pemilihan calon ditetapkan oleh Presiden parti.
MIC yakin akan memenangi semula semua kerusi yang terlepas ke tangan pembangkang disamping mempertahankan kerusi sedia ada.
"Keyakinan ini berdasarkan terhadap gerak kerja yang dilakukan MIC di peringkat akar umbi di seluruh negeri sejak empat tahun lalu," katanya.
No comments:
Post a Comment