04/04/2013

8,000 Kakitangan Awam Perak Terima Insentif Khas RM500


Image


SELEPAS 2,340 warga kerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerima ‘durian runtuh' pada Isnin lalu, hari ini pula, tiba giliran untuk lebih 8,000 kakitangan awam Negeri Perak, apabila turut menerima pemberian insentif khas bernilai RM500 setiap seorang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemberian insentif khas itu melibatkan peruntukkan berjumlah RM7.5 juta.

Menurutnya, ianya membabitkan semua kakitangan awam negeri yang berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Pejabat Tanah dan Galian, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

"Pembayaran insentif khas ini akan membabitkan peruntukan berjumlah RM7.5 juta dan dimasukkan dalam gaji April.

"Insentif khas ini diharap dapat memberi galakan kepada kakitangan awam negeri untuk terus berkhidmat dengan cemerlang di masa akan datang.

"Kutipan hasil yang meningkat kepada RM905 juta berbanding jangkaan hanya RM865 juta tahun lalu merupakan satu pencapaian yang baik, sekaligus membolehkan kerajaan negeri mengisytiharkan insentif khas RM500 kepada semua kakitangan awam Negeri Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco terakhir bagi penggal ini di Pejabat Menteri Besar di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, sudah menjadi dasar kerajaan negeri menggunakan sebahagian lebihan hasil yang dikutip untuk memberi insentif kepada kakitangan awam yang berkhidmat di Perak.

"Sebahagian lagi lebihan hasil itu kita salurkan untuk projek pembangunan negeri dan rakyat seperti membaiki jalan dan memasang lampu jalan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, pembangunan di Perak begitu pesat sekali sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pakatan Rakyat (PR).

"Hasil pelbagai pendekatan yang dilaksanakan, pertumbuhan sosio-ekonomi negeri Perak mencapai tahap yang membanggakan termasuklah menawarkan lebih 55,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Pertumbuhan hasil negeri juga menunjukkan impak yang positif, sekaligus memberi peluang kepada rakyat Perak untuk menikmati pembangunan yang disediakan kerajaan negeri," katanya.

No comments:

Post a Comment