Sebuah rumah teres yang dihuni dua pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di Jalan Imam Abdul Aziz, Klang dibakar, dipercayai kerana dendam, dalam satu kejadian awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, kejadian itu disedari pegawainya yang berpangkat Sub Inspektor dan Lans Koperal apabila kedua-duanya terdengar bunyi letupan di perkarangan rumah mereka kira-kira jam 3 pagi.
"Ketika kejadian, anggota saya sedang tidur dan bergegas keluar apabila terdengar bunyi letupan kuat di luar rumah.
"Mereka kemudian bertindak keluar dari rumah apabila melihat pintu depan rumah mereka dijilat api dan terkejut apabila empat tayar kereta Toyota Unser dan bonet belakang Proton Saga milik mereka yang diparkir di depan rumah turut dijilat api," katanya di sini.
Beliau berkata, bagaimanapun kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian oleh mangsa menggunakan air dari pili air di laman rumah itu.
"Polis tidak menolak kejadian ini berunsur dendam kerana pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui beberapa botol plastik yang mempunyai kesan minyak yang kita percaya digunakan dalam kejadian ini," katanya.
Shukor berkata, rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di rumah jiran mangsa turut menunjukkan kelibat dua lelaki melakukan perbuatan itu.
"Kami masih melakukan siasatan menyeluruh bagi mengesan suspek dan berkemungkinan kedua-dua mangsa adalah sasaran berdasarkan bidang kerja masing-masing dan suspek yang terlibat akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," kata Shukor.
No comments:
Post a Comment