10/04/2013

Projek RM400 juta di Batu Gajah, Rapatkan Hubungan China dan Malaysia



Image


PROJEK membina kemudahan keretapi dan lokomotif bernilai RM400 juta di di Batu Gajah, Perak dilihat mampu merapatkan lagi hubungan dua hala antara Kerajaan Malaysia dan China, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, pelaburan ini dapat direalisasikan hasil hubungan baik antara Malaysia dan China yang terjalin sejak zaman pemerintahan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Beliau berkata, hasil pelaksanaan dasar transformasi nasional yang dilaksanakan kerajaan termasuk menambahbaik sektor pengangkutan awam turut mendorong kepada minat syarikat swasta dari China untuk melabur di Malaysia.

"Hubungan dua hala antara Malaysia dan China dapat terus dipertingkatkan melalui projek ini, sekaligus menjadi komitmen jangka panjang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Projek ini juga selaras dengan objektif kerajaan untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang sistematik dan efisien kepada rakyat," katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Projek 'The Development Of Advance Railway Engineering And Technology In Malaysia' di Batu Gajah, dekat Ipoh, hari ini.

Projek mega milik syarikat CSR ZhuZhou Electronic Locomotive Company (CSR) dari China tersebut bakal beroperasi di kawasan seluas kira-kira 41.93 ekar berhampiran Akademi KTMB di Batu Gajah.

Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Naib Presiden CSR Group, Xu Zong Xiang.

Sementara itu, Najib berkata, pelbagai program dan projek lain sedang dilaksanakan kerajaan termasuklah menyediakan perkhidmatan komuter di Lembah Klang dan sistem rel laju.

"Kerajaan sentiasa menepati janji berbanding janji pembangkang yang kini tinggal janji sejak lima tahun memerintah di beberapa buah negeri di Malaysia.

"Oleh itu, saya berharap rakyat dapat memberi peluang kepada BN untuk memimpin negara dan berdasarkan kejayaan Menteri Besar Perak mentadbir negeri, saya yakin pengundi akan memberi mandat sekali lagi kepada BN untuk berkuasa di Perak dan Putrajaya," katanya.

No comments:

Post a Comment