09/04/2013

BN Batu Gajah Sepakat Sokong Calon DUN Tronoh


Image


SEMUA pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu Gajah menyatakan taat setia mereka terhadap apa sahaja keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti termasuk isu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh yang dikatakan akan diserahkan kepada MIC.

Pengerusi BN Parlimen Batu Gajah, Datuk Yusof Kassim berkata, sehubungan itu desas desus menyatakan AJK Pusat Daerah Mengundi (PDM), ketua-ketua kampung DUN Tronoh akan meletakkan jawatan kerana memprotes keputusan memberikan DUN Tronoh kepada MIC adalah tidak benar sama sekali.

Menurutynya, semua pemimpin komponen BN Parlimen Batu Gajah sebulat suara menyuarakan sokongan padu mereka terhadap calon BN yang akan bertanding bagi kerusi DUN Tronoh.

"Saya telah memanggil semua AJK PDM, (dan) Ketua kampung untuk bertanyakan pendapat mereka sekiranya mereka benar-benar mahu meletak jawatan.

"Sebaliknya mereka berjanji akan memberi kerjasama. Maka pada mesyuarat malam ini (semalam) satu keputusan sebulat suara telah dicapai. Mereka menyatakan mereka tidak akan meletakkan jawatan dan akan terus berada bersama BN.

"Mereka juga akan bekerja keras memastikan kemenangan calon bagi DUN Tronoh walaupun calon bukan daripada parti MCA," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tergempar di Pejabat UMNO Parlimen Batu Gajah, semalam.

Mesyuarat itu diadakan berikutan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina semalam yang mendakwa terdapat AJK PDM, Ketua-ketua Kampung DUN Tronoh akan meletakkan jawatan kerana memprotes keputusan menyerahkan DUN Tronoh kepada MIC.

Datuk Yusof berkata, semua pemimpin parti komponen BN Parlimen Batu Gajah telah faham dan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti supaya kerusi DUN Tronoh diberikan kepada MIC.

"Saya sendiri telah mendengar Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek menyatakan bahawa MCA akan memberi laluan kepada calon MIC untuk bertanding di DUN Tronoh dan juga Buntong.

"Kami akan bekerja kuat bagi memastikan BN merampas kembali DUN Tronoh. Kemenangan ini bukan kemenangan MIC tetapi kemenangan BN supaya dapat terus menerajui pucuk pimpinan pada masa yang akan datang," katanya.

DUN Tronoh yang sebelum ini dikuasai BN jatuh ke tangan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 lalu.

No comments:

Post a Comment