10/04/2013

Utamakan Kesetiaan Kepada Parti: Pengerusi BN Parlimen Batu Gajah



Image


SEMUA parti komponen Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu Gajah diminta supaya bersatu hati untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang bagi memastikan kemenangan semua calon BN.

Pengerusi BN Parlimen Batu Gajah, Datuk Mohd Yusoff Kassim, berkata kesetiaan kepada parti perlu diutamakan dan mereka juga seharusnya akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

"Saya mahu semua pemimpin dan penyokong parti komponen bersatu hati dan janganlah berpecah belah agar kemenangan berpihak kepada BN.

"Jentera pilihan raya perlu harus bekerja kuat bagi meraih sokongan rakyat terutamanya pengundi atas pagar.

"Saya juga ingin menasihatkan semua ahli MIC khasnya (yang bakal bertanding di DUN Tronoh) supaya memastikan tiada seorang pun mereka tidak mengundi BN.

"Kita juga harus bekerja kuat bagi memastikan semua pengundi India di ‘atas pagar' supaya turut mengundi calon MIC bagi memastikan kemenangan BN di DUN Tronoh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin MIC Parlimen Batu Gajah dan penyokong parti berkenaan di Batu Gajah, hari ini.

Sementara itu, Yusoff yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah berkata, beliau yakin BN mampu menyapu bersih negeri-negeri yang dikuasai parti pembangkang seperti Selangor, Kelantan dan Kedah pada PRU-13 akan datang.

"Mungkin juga Pulau Pinang (akan dirampas BN). Saya rasa majoriti 2/3 kerusi Parlimen senang-sedang sahaja BN akan dapat.. mungkin lebih daripada itu juga kita akan dapat," katanya.

No comments:

Post a Comment