07/04/2013

Pengundi Muda Di Parlimen Gerik Kini Bersama BN


Image


SOKONGAN pengundi muda terhadap Barisan Nasional (BN) di peringkat Parlimen Gerik semakin meningkat berikutan gerak kerja berterusan yang dijalankan dalam usaha mendekati golongan itu sejak empat tahun lalu.

Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Hasbullah Osman berkata, sebelum itu, pihak BN bimbang dengan tahap sokongan pengundi muda kepada BN.

"Jika dulu saya rasa gusar dari segi tahap sokongan pengundi muda, tetapi setelah kita turun ke bawah, kita melihat kini ada perubahan.

"Sekurang-kurangnya kita boleh mendapat 55:45 sokongan di kalangan pengundi muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Jambatan Merentasi Sungai Perak Ke Tanjung Rimbun, di Kampung Batu 6, Bandariang, dekat Gerik yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, semalam.

Menurutnya, beliau turut melahirkan penuh keyakinan dan percaya terhadap kerja berpasukan yang dibuat dan yakin walau siapa menjadi calon yang penting, ahli akan mendahului parti.

"Saya yakin Parlimen Gerik, DUN Pengkalan Hulu dan DUN Temenggor bersama-sama dengan jentera UMNO, MCA, MIC dan GERAKAN, kami yakin.. Insya-Allah kita menang.

"Keyakinan ini berdasarkan kepada siap siaga kita dan BN tidak meninggalkan pengundi-pengundi muda.

"Kita di Gerik ada beberapa faktor menyakinkan kita untuk boleh menang. Bukan di atas kertas, tetapi hasil gerak kerja yang kita buat.

"Pendekatan kita... buat kerja untuk dekati pengundi dan perkhidmatan yang diberikan bukan semata-mata bergantung kepada wakil rakyat tetapi satu pasukan.

"Pasukan Wanita, Puteri, Pemuda, Jawatankuasa Bahagian, Ketua Cawangan, Ketua Kampung, ini antara yang memberi keyakinan kepada saya untuk dapat mempertahankan kerusi Parlimen dan kedua-dua DUN," katanya.

No comments:

Post a Comment