05/04/2013

Tindakan Najmuddin Bantu Percepatkan Proses Meremajakan Parti


Image


TINDAKAN Penasihat Hal Ehwal Agama Menteri Besar, Datuk Kapt. (B) Mohd Najmuddin Elias untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau dilihat satu pengorbanan yang cukup besar kepada parti.

Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Azhar Ahmad berkata, tindakan tersebut mampu membantu proses untuk ‘meremajakan' parti seperti yang dihasratkan pucuk pimpinan tertinggi parti.

"Kalaulah kita ada banyak tokoh-tokoh seperti ini, insya-Allah aman kita, kerana sebelum penamaan calon pun dengan rela hati beliau (Mohd Najmuddin Elias) menarik diri untuk memberi fokus kepada kerja-kerja amal dan keagamaan.

"Keputusan yang dibuat Datuk Kapt. sangat-sangat dihargai, sangat baik dan seterusnya memberi impak yang baik kepada parti dalam proses ‘meremajaan' parti itu sendiri," katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau itu untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Batu Kurau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Najmuddin mengumumkan hasrat beliau itu bagi memberi laluan kepada muka baru yang terdiri daripada golongan muda bagi menggantikan beliau dan akan menumpukan tanggungjawab dalam hal ehwal Islam dan dakwah di Perak.

Pada pilihan raya tahun 2008, Najmuddin berjaya mempertahankan kerusi DUN Batu Kurau dengan mendapat 7,023 undi selepas menewaskan calon PKR, Hamid Ali yang memperoleh 4,584 undi.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Najmuddin atas keputusan yang diumumkan itu.

"Secara peribadi, saya mengucapkan jutaan terima kasih, semoga Allah sahajalah yang dapat membalas jasa dan budi yang telah dicurahkan kepada rakyat di kawasan yang diwakili," katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, program keagamaan di seluruh negeri termasuk di Kediaman Rasmi Menteri Besar, akan diteruskan seperti biasa, malahan saya yakin Datuk Kapt. (B) Mohd Najmuddin Elias akan memberi tumpuan sepenuhnya di sini.


No comments:

Post a Comment