04/04/2013

Dewan Undangan Negeri Perak Ke-12 Dibubarkan Berkuatkuasa Hari ini.


Image


PERAK hari ini dengan rasminya mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 berkuatkuasa hari ini.

Pengumuman pembubaran DUN itu dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Terdahulu, Zambry telah mengadap Raja Nazrin Shah di Istana Iskandariah, dekat Kuala Kangsar pada jam 2.30 petang tadi, untuk menyerahkan warkah perkenan membubarkan DUN Perak Ke-12.

Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, sejak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11 pada 6 Februari 2009, beliau bersama barisan exconya berusaha segala daya upaya untuk membawa pembaharuan dan pembangunan selaras dengan Gagasan Perak Amanjaya, Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir dan falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Dalam tempoh empat tahun ini, saya bersama rakan exco lain turun ke lapangan untuk mendengar denyut nadi dan menyelesaikan masalah rakyat.

"Ini bertujuan memastikan setiap rakyat berpeluang menikmati kemakmuran dan kemajuan di negeri tercinta ini," katanya pada sidang media khas di kediaman Menteri Besar di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kerana meletakkan kepentingan rakyat di tempat utama.

Beliau berkata, BN merupakan sebuah kerajaan yang menepati janji dan melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya, bukan sekadar ‘tanam tebu di bibir'.

"Rakyat perlu membuat pilihan yang dapat menjamin masa depan bersama, bukan sahaja untuk diri kita tetapi juga untuk anak cucu serta generasi yang akan datang.

"Sejak 55 tahun lalu, BN menjadi pilihan rakyat. Rekod keupayaan dalam menjamin kestabilan dan keamanan serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat telah terbukti selama ini," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan BN juga tidak lepas daripada kekurangan dan kelemahan namun sebagai pemimpin dengan sokongan rakyat, kerajaan melaksanakan pembaharuan dan memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

"Atas kesedaran inilah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan pelbagai program transformasi bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat sentiasa didahulukan.

"Kami tidak pernah menunding jari atau menyalahkan orang lain jika ada kelemahan yang berlaku. BN juga tidak bermain dengan politik kebencian atau memecah belahkan rakyat.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dalam suasana aman, lancar dan selamat. Kerajaan negeri akan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga proses pilihan raya selesai.

"Setiap undi tuan-tuan adalah penting. Jangan pertaruhkan masa depan anak cucu kita dan negara. Dengan sokongan tuan-tuan dan puan-puan saudara dan saudari, saya yakin kita mampu membina Negeri Perak yang lebih dinamik dan berjaya," katanya.

Di kesempatan itu juga, Menteri Besar turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat kerana memberi kepercayaan kepada beliau dan barisan exconya menerajui kepimpinan negeri sejak 2009.

"Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menyanjung tinggi kepercayaan rakyat dan akan terus memberikan yang terbaik demi agama, bangsa dan negara.

"Saya dan rakan-rakan dalam BN akan terus berada di lapangan untuk bertemu dengan rakyat di pelusuk negeri bagi menyakinkan rakyat kenapa kami BN, perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.

"Kami akan menggunakan mandat yang diberi insya-Allah untuk menggandakan lagi usaha bagi menjana masa depan yang lebih baik, lebih bermakna, lebih sejahtera untuk saudara saudari serta anak cucu kita semua.

"Bersatulah dan terus maju ke arah mencapai Perak Aman Jaya iaitu Negeri Perak yang aman dan berjaya. Kepada Allah kita pohonkan perlindungan dan semoga seluruh rakyat negeri yang tercinta ini sentiasa dalam peliharaan Tuhan Sekelian Alam," katanya.

No comments:

Post a Comment