03/04/2013

Hub Pendidikan Terbaharu Di Seri Iskandar, Perak



Image


KERAJAAN Negeri Perak akan mewujudkan sebuah lagi hub pendidikan terbaharu bagi menjadikan Perak sebagai sebuah negeri maju berteraskan pengetahuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu diambil bagi memastikan rakyat di negeri ini mendapat kemudahan pendidikan yang terbaik daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri dibawah anak syarikat MB Inc. Corporated telah menyediakan satu ‘blueprint' bagi tujuan berkenaan di kawasan seluas 1,000 ekar di Seri Iskandar dekat Parit.

"Ini merupakan hub pendidikan terbaru selepas Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) Tanjung Malim, Universiti Tuanku Abd Rahman (UTAR) Kampar, dan juga Universiti Petronas (UTP) Seri Iskandar.

"Ianya kini dalam proses perlaksanaan dan kita jangkakan ianya akan mengambil masa 15 tahun sebelum kawasan ini benar-benar hidup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemberian Bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta Sekolah Mubaligh di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, di Ipoh, semalam.

Bantuan tersebut melibatkan 111 buah SJK Cina dan 85 buah SJK Tamil dengan nilai peruntukan sebanyak RM1 juta, manakala 19 buah Sekolah Mubaligh dan 17 buah SMJK dengan jumlah peruntukan RM2 juta.

Sementara itu, beliau berkata Perak merupakan negeri yang terawal memperkenalkan beberapa jenis bantuan bagi membantu sekolah-sekolah terbabit memperbaiki kualiti pembelajaran.

Menurutnya, antara bantuan tersebut adalah sumbangan bagi menampung bil-bil utiliti, pembelian alat bantuan mengajar, pengecualian cukai tanah dan bayaran cukai pintu nominal.

"Bantuan-bantuan ini adalah peruntukan tambahan yang disediakan kerajaan negeri selain peruntukan per kapita yang diterima setiap sekolah daripada kerajaan pusat.

"Ini bukti komitmen kerajaan Perak dalam memastikan semua sekolah sama ada yang beraliran kebangsaan mahupun jenis kebangsaan dan mubaligh mendapat perhatian sewajarnya," katanya.

No comments:

Post a Comment