02/04/2013

Warga Kerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Menerima ‘Durian Runtuh'!!!



Image


SERAMAI 2,340 warga kerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerima ‘durian runtuh' masing-masing bernilai RM500 setiap seorang daripada Kerajaan Negeri Perak sebagai pengiktirafan terhadap jasa mereka selama ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, insentif berkenaan diharap dapat menyuntik semangat dan sebagai galakan kepada warga kerja MBI untuk terus meningkatkan prestasi kerja cemerlang di bawah satu pasukan.

Menurutnya, pemberian insentif berkenaan melibatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM1.4 juta.

"Insentif yang diberi ini bergantung kepada hasil yang diperolehi MBI dan diberi secara tahunan, bukan pada waktu-waktu tertentu sahaja.

"Sejumlah 2,340 warga kerja MBI akan menikmati insentif ini dan saya juga sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri melihat serta menilai prestasi hasil yang dikutip semua Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah di Perak.

"Sekiranya pihak Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah ini menunjukkan prestasi hasil yang baik, maka kita di pihak kerajaan negeri akan mengumumkan perkara yang sama (insentif) kepada kakitangan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Perdana Anggota MBI Bersama Menteri Besar di Stadium Indera Mulia, dekat Ipoh, hari ini.

Sementara itu, beliau berasa gembira di atas kejayaan MBI hasil penambahbaikan sistem penyampaian serta penubuhan ‘One Stop Centre' yang berperanan memudahkan kelulusan sesuatu permohonan pembangunan.

"Kelulusan segera di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) turut menyumbang kepada perubahan ketara dalam sektor pembangunan di Negeri Perak.

"Ingin saya tegaskan tiada lagi fail yang tertunggak ketika ini dan kita sudah mengarahkan pihak berkuasa di peringkat daerah mengemukakan fail masing-masing dengan segera untuk kelulusan di peringkat MMK," katanya.

sumber: www.perakbn.com

No comments:

Post a Comment