Kuala Lumpur: Sebelas pegawai kanan polis dilantik bagi memantau dan memastikan proses pilihan raya di seluruh negara berjalan dengan lancar tanpa dicemari sebarang insiden.
Pelantikan mereka yang berkuat kuasa sebaik Dewan Rakyat dibubarkan, Rabu lalu, akan berperanan sebagai penasihat dan pemantau di 14 kontinjen polis negeri.
Diketuai Khalid
Pasukan itu diketuai Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memantau Negeri Sembilan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Bakri Zinin (Sabah); Pengarah JSJ Komersial, Datuk Syed Ismail Syed Azizan (Kedah dan Perlis); Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas), Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun (Perak).
Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Mortadza Nazarene (Sarawak); Pengarah JSJ Narkotik, Datuk Noor Rashid Ibrahim (Kelantan dan Terengganu); Pengarah Jabatan Logistik, Datuk Zulkifli Abdullah (Johor dan Melaka); Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Datuk Ayub Yaakob (Pahang).
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Salleh Mat Rasid (Kuala Lumpur); Timbalan Pengarah II Cawangan Khas, Datuk Leo Chong Cheong (Pulau Pinang) dan Timbalan Pengarah I KDNKA, Datuk Abd Rahman Hussin (Selangor).
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pelantikan pegawai kanan PDRM itu dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Nasihati ketua polis negeri
“Selain turun padang di negeri masing-masing sekiranya diperlukan, mereka akan memantau dan menasihati ketua polis negeri berkaitan dasar dan undang-undang serta apa yang perlu dilakukan bagi memastikan kelancaran PRU-13,” katanya dalam taklimat PRU-13 bersama media di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Ramli turut mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati membuat sebarang kenyataan dalam media sosial bagi mengelak berlakunya sebarang ancaman, hasutan atau pelanggaran undang-undang.
“Kadang-kadang bila kita terlalu teruja, kita menulis secara tidak bertanggungjawab. Perkara ini dipantau polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengelak penyebaran hasutan dan sebagainya,” katanya.
No comments:
Post a Comment