29/03/2013

Wira Negara Kongsi Detik Cemas Berdepan Pengganas Sulu

Cerita Panas ini!!!





“Selagi masih bernyawa dan termampu, saya akan teruskan perjuangan mempertahankan negara yang tercinta ini. Saya tidak akan berundur. Itu sumpah saya kepada rakan-rakan yang terkorban”.
Demikian ungkapan semangat wira negara Konstabel Mohammad Qaiyum Aiqal Zulkilfi, 22, anggota VAT 69 yang cedera ditembak dibahu kanan ketika bertempur dengan militan Sulu di Kampung Tanduo, dekat Lahad Datu, awal bulan lalu.


Menceritakan semula detik cemas yang berlaku, Mohammad Qaiyum yang berada dalam kumpulan Delta ketika itu sedang memberi bantuan kepada kumpulan Bravo dan Charlie yang diserang hendap sebelum kejadian.
“Mereka (pengganas) telah menunggu kami dan melepaskan tembakan kepada kami, dengar daripada tembakan itu memang padat… paling kecil M16 digunakan dan saya juga terkena tembakan curi dan hampir terkorban,” katanya.
Mohammad Qaiyum Aiqal yang ditemui di majlis menyambut kepulangan wira negara di kediaman Menteri Besar, malam tadi turut memanjatkan rasa syukur dan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah menyelamatkan nyawanya dari terus ditembak musuh.
“Sarjan Hairi telah bertarung nyawa untuk keluarkan saya dari tempat kejadian, saya terhutang budi dan nyawa kepada mereka yang sanggup ke hadapan untuk keluarkan saya dari tempat kejadian,” katanya lagi.
Seorang lagi anggota VAT 69 yang tercedera, Koperal Mohd Tarmizi Hashim, 32, pula berkata pertempuran bersama tentera kumpulan Kiram 111 diibaratkan sama seperti waktu ketika menjalani latihan.
“Pertempuran tu rasa macam latihan dan sebab latihanlah saya lagi bagus…kalau tiada latihan mungkin saya sudah lari,” katanya.
Mohd Tarmizi yang berada dalam kumpulan Charlie ketika kejadian memberitahu, jarak memisahkan anggota VAT 69 dan pihak musuh hanya sekadar jarak empat batang kelapa sawit.
“Pada jam 9 pagi itu, anggota pengganas sudah membuat serangan, masa itu saya masih kuat, masih boleh meniarap lagi… kalau saya tengok saya masih teringat cara mereka masuk dan cara tembakan mereka.
“Ketika ditembak saya tidak fikir apa, cuma saya fikir kena potong kaki sahaja tetapi pihak musuh sememangnya sudah menunggu di belakang kami,” katanya.
Dalam kejadian pada 1 Mac lepas, dua anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban, manakala 12 penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina maut dalam kejadian tembakan membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo.


Dua anggota komando VAT 69 yang terbunuh dalam pertempuran itu ialah ASP Zulkifli Mamat dari Besut, Terengganu dan Sarjan Sabaruddin Daud dari Sabak Bernam, Selangor.
Sementara itu, kepulangan wira negara disambut meriah oleh kira-kira 500 ahli keluarga dan wargakota Ipoh yang berkumpul sejak 8 malam lagi.


Seramai  84 anggota VAT 69 kumpulan kedua yang dihantar ke Op Daulat tiba di perkarangan kediaman kira-kira jam 9.30 malam disambut dengan iringan lagu perwira ‘Inilah Barisan Kita’ serta laungan semangat daripada rakan setugas.
Turut menyambut kepulangan mereka ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim.



No comments:

Post a Comment