29/03/2013

Perak Belanja RM1.5 juta Setiap Tahun Perkasa Pendidikan Orang Asli




KERAJAAN Negeri Perak memperuntukan kira-kira RM1.5 juta setiap tahun bagi memperkasakan pembangunan modal insan masyarakat Orang Asli dalam bidang pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Perladangan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, peruntukan besar itu adalah antara bukti kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan kualiti hidup Orang Asli.

Menurutnya, sehubungan itu, beliau meminta generasi muda Orang Asli untuk merebut sebanyak mungkin peluang memajukan diri dalam bidang pendidikan supaya mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
"Pelbagai inisiatif dilakukan oleh kerajaan negeri untuk memastikan anak Orang Asli berjaya dalam kehidupan mereka termasuklah dalam bidang pendidikan. Kita tidak mahu mereka terpinggir.

"Tetapi mereka sendiri yang perlu ada semangat untuk berjaya. Perlu ada sikap dan inisiatif untuk mengubah kehidupan sendiri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Orang Asli SPM/STPM 2012 di Sungai Siput, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) Perak dan Kedah, Mohd. Zambri Mustajap.
Pada majlis tersebut, Saarani turut menyampaikan komputer riba kepada tiga pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berserta wang tunai RM500 setiap seorang.

Menurut Saarani, kerajaan negeri yang diterajui BN tidak pernah meminggirkan golongan itu dalam arus pembangunan, malah menyediakan peruntukan besar melalui JAKOA.

"Kita menyedari bahawa ada anak Orang Asli yang tercicir, mungkin kerana faktor kewangan, penyesuaian atau tidak berdaya saing untuk lebih memajukan diri.

"Sebab itulah kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar ini. Dengan bantuan tersebut, kita sediakan kelas tambahan, wang poket serta pelbagai lagi kemudahan untuk memastikan anak Orang Asli berjaya dalam bidang pendidikan," katanya.


No comments:

Post a Comment