31/03/2013

Akur Siapa Sahaja Calon Yang Ditetapkan Pucuk Pimpinan Parti



Image

MANA-MANA pihak berhak mengemukakan cadangan atau melobi nama calon pilihan mereka di saat-saat akhir tetapi mereka diminta akur dengan senarai calon yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mereka yang tidak terpilih sebagai calon perlu akur dan menerima sebarang keputusan yang ditetapkan pucuk pimpinan parti.
"Saya berharap mana-mana pihak yang tidak terpilih sebagai calon hendaklah akur dan terima hakikat kerana jawatan wakil rakyat sama ada di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen hanya ada satu, bukannya dua.

"Selain itu, kita perlu belajar daripada pengalaman lalu dan jangan sesekali lupa apa yang berlaku dalam pilihan raya 2008 yang menyebabkan kekalahan Barisan Nasional (BN) kerana merasakan kita boleh menang tanpa mengira siapa calon yang bertanding ketika itu.

"Namun, saya yakin ahli yang setia tidak akan mengulangi kesilapan sama sebaliknya apabila nama calon diumumkan, maka wajib bagi ahli untuk memberi taat dan setia kepada perjuangan BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Maahad Tahfiz Pulau Pangkor di Kampung Teluk Gedong, Pulau Pangkor, dekat Lumut, pada Sabtu.

Projek yang menelan kos kira-kira RM8 juta bagi fasa pertama itu dijangka siap pada Ogos 2014.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai kesiapsiagaan petugas dan jentera pilihan raya, Dr. Zambry berkata, beliau yakin bahawa semua ahli yang terdiri dari semua juga parti komponen BN sudah bersedia apabila tibanya masa yang dinantikan.

"Semua petugas dan ahli sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Kita hanya menunggu pengumuman daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana beliau lebih mengetahui tarikh terbaik untuk membuat pilihan raya.

"Semua pihak boleh membuat jangkaan atau ramalan tetapi saya yakin, tempoh masa (PRU-13) itu semakin hampir," katanya.

No comments:

Post a Comment