PAKATAN Rakyat (PR) di Negeri Perak terpaksa mengitar semula isu-isu lama untuk menutup serta mengalih perbalahan antara PAS dan DAP terutama dalam isu hudud, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Menurutnya, tindakan itu terpaksa diambil bagi meraih sokongan pengundi di seluruh negeri yang kini mula berpihak kepada BN.
"Sehubungan itu, rakyat perlu menilai dan melihat perkara ini kerana ia membabitkan soal dasar iaitu idealogi dan fahaman yang diperjuangkan oleh DAP dan PAS.
"Ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Lima peratus tak setuju, 95 peratus lagi setuju kerana ia membabitkan soal dasar atas nama persefahaman dan ideoalogi di peringkat parti yang mana PAS mahu menubuhkan sebuah negara Islam manakala DAP pula menentang pembentukan negara Islam sama sekali.
"Yang ini rakyat kena lihat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Tranquillity Pangkor di Jeti Kampung Sungai Pinang Kechil, Pulau Pangkor, hari ini.
Dr. Zambry berkata, rakyat mungkin dapat membayangkan apa yang terjadi sekiranya pembangkang berkuasa di Putrajaya jika melihat kepada situasi perbalahan yang antara PAS dan DAP dalam isu hudud ketika ini.
"Dalam dua perkara dasar ini pun mereka sudah bergaduh, rakyat boleh bayangkan apa yang akan terjadi jika pembangkang mendapat kuasa memerintah negara," katanya.
Menurutnya, jika pergaduhan sesama pembangkang itu berlaku, ianya pasti meninggalkan kesan yang negatif kepada keselamatan dan kestabilan negara, sekaligus menjejaskan politik kenegaraan yang selama ini menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai laporan akhbar berbahasa Cina berhubung tindakan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham membawa calon PKR kerusi Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Imran Abdul Hamid memasuki sebuah gereja di daerah Manjung baru-baru ini, beliau berkata:
"Biarlah rakyat sendiri yang menilai tindakan mereka itu dan rumah ibadat sepatutnya dijaga kesuciannya.
"Sebelum ini, pembangkang tuduh saya guna masjid tetapi tidak benar sama sekali kerana sebenarnya ia di luar kawasan masjid.
"Saya tidak akan beri ceramah politik dalam masjid kerana itu bukan perkara yang diajarkan oleh agama Islam," katanya.
No comments:
Post a Comment