03/05/2013
Belajar Dari Kelemahan Lalu, Berazam Rampas Semula DUN Sungkai, Behrang
BARISAN Nasional (BN) Parlimen Tanjung Malim berazam untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai dan DUN Behrang yang terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya 2008 lalu.
Calon BN P.077 Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, pihak BN akan bekerja keras dan sedia belajar daripada kesilapan lalu termasuk mengenal pasti kelemahan BN sebelum ini.
"Kita (BN) akan memperbaiki setiap kelemahan yang ada supaya kita dapat menawan kembali dua kerusi yang kalah dan mengekalkan kerusi yang menang di peringkat DUN dan Parlimen.
"Selain itu, kita juga harap dapat membantu BN di peringkat negeri dan persekutuan untuk membentuk kerajaan, ini agenda utama kita," katanya kepada pemberita di Tanjung Malim, hari ini.
Ketika ditanya mengenai sokongan rakyat terhadap BN beliau berkata, hasil daripada maklum balas yang diterima menerusi program turun padang yang dijalankan mendapati sokongan pengundi amat memberangsangkan.
"Bagaimanapun kita tidak boleh berpuas hati, malahan akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk mendekati pengundi. Setiap undi itu amat berharga.
"Setiap hari.. tiap-tiap pagi kita akan menjalankan program mendekati pengundi. Bertemu dengan seberapa ramai rakyat yang boleh.
"Kita ada buat banyak program untuk golongan tua dan muda. Bagi golongan muda kita buat program sukan, futsal, sukan rakyat, program santai dan ceramah.
"Masyarakat sekarang sudah berubah.. tidak sama seperti dahulu. Jadi, kita kena buat pelbagai aktiviti supaya setiap golongan masyarakat dapat kita dekati.
Sementara itu, beliau berkata, sokongan masyarakat Cina terhadap BN juga semakin baik kerana kebanyakkan mereka adalah pekebun kecil.
"Mereka menghargai keharmonian kaum. Jadi bila orang Melayu dan India sokong, mereka juga turut sama menyokong BN," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berharap semua pihak akan berkempen secara sihat dan tidak ada sebarang kejadian buruk berlaku termasuk perbuatan membakar bilik gerakan parti politik pihak lawan.
"Saya harap kejadian seperti itu tidak berlaku di sini (Tanjung Malim) kerana penduduk di sini sangat menghargai keamanan dan kedamaian.
"Berdasarkan kepada hakikat ini, saya rasa sokongan kepada kerajaan (BN) adalah baik," katanya.
Labels:
Melayu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment