16/04/2013

BN Batu Gajah Sepakat Sokong Calon DUN Tronoh



Image



SEMUA AJK Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan Ketua-ketua Kampung Parlimen Batu Gajah menyatakan ikrar mereka menyokong siapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei depan.

Pengerusi BN Parlimen Batu Gajah, Datuk Yusof Kassim berkata, semua masalah yang timbul sebelum ini termasuk isu pemberian DUN Tronoh oleh MCA kepada MIC telah selesai.

"Kesemua ketua kampung dan ahli Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mahu meletak jawatan sebelum ini akhirnya berikrar untuk terus bekerjasama membantu BN menghadapi pilihan raya kali ini.

"Masalah tempoh hari yang menyaksikan segelintir pemimpin dan penyokong MCA tidak berpuas hati kerusi DUN Tronoh kepada MIC akhirnya dapat diselesaikan.

"Kami di sini kini bersatu untuk menumpukan kepada pilihan raya bagi memastikan semua calon yang bertanding di Parlimen Batu Gajah beroleh kemenangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama-sama Ketua PDM yang hadir sebagai tanda memberi sokongan terhadap keputusan yang dibuat peringkat kepimpinan tertinggi BN.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Batu Gajah, Datuk Lee Kon Yin dan Ketua MIC Bahagian Batu Gajah, S. Pulikesi.

Yusof yang juga Ketua UMNO Bahagian memberitahu, operasi 23 PDM yang terganggu disebabkan perbalahan tempoh hari kini kembali berjalan lancar bagi melaksanakan gerak kerja yang telah diatur.

"Persiapan PDM telah dibuat dalam masa singkat tetapi terhenti seketika berikutan masalah tempoh hari namun di atas perbincangan bersama, mereka akhirnya bersetuju dan akur satu kerusi DUN diberikan kepada MIC.

"Semua ahli PDM kembali bekerja kuat dan minta saya datang untuk meninjau PDM masing-masing," katanya.

Menurutnya, bagi Parlimen Batu Gajah, sebanyak 38 PDM dibuka bagi melancarkan proses membuang undi yang ditetapkan pada 5 Mei depan.

No comments:

Post a Comment